RSS Formidable

RSS Formidable merupakan sebuah kapal perang jenis frigat yang pertama dimiliki Angkatan Laut Republik Singapura dan dilengkapi dengan beraneka teknologi canggih. RSS Formidable dibina di limbungan kapal DCN, sebuah syarikat pembuat kapal frigat Angkatan Laut Republik Singapura di Lorient, Peranchis. RSS Formidable merupakan yang pertama daripada enam frigat yang sedang dibina. Bakinya akan dibina di Singapura oleh syarikat Singapore Technologies Marine, di bawah sebahagian perjanjian memindahkan teknologi pembuatan dan penyenggaraan kapal frigat jenis itu dari Peranchis. RSS Formidable dijadualkan beroperasi sepenuhnya, dan dihantar ke Singapura pada awal tahun 2005. Kesemua enam frigat itu dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2009. Antara senjata yang dilengkapi di atas kapal perang tersebut ialah pembedil 76 mm, peluru berpandu Harpoon dan torpedo jenis Eurotorp A244S. Senjata-senjata ini merupakan jenis senjata yang telahpun digunakan di kapal-kapal Angkatan Laut Republik Singapura yang lain bagi memudahkan penyelenggaraan, latihan dan logistik. Selain itu, RSS Formidable direka khusus untuk rekaan menyusup "stealth". Bahan binaan dan cat yang digunakan menjadikan saiz yang tertera di skrin radar adalah jauh lebih kecil daripada saiz sebenarnya. Dengan ini ia meningkatkan keupayaan frigat RSS Formidable ini, menyukarkan lagi RSS Formidable dari dikesan oleh kapal musuh, membolehkan RSS Formidable memusnahkan kapal musuh pada jarak yang lebih jauh. Ini berbeza daripada kapal musuh yang terpaksa menghampiri RSS Formidable dalam usaha untuk membidik.Kapal frigat RSS Formidable juga mempunyai keupayaan yang lebih baik untuk mengesan kapalselam dan dalam mempertahankan diri dari serangan peluru berpandu anti-kapal yang meluncur di paras lautan. Keupayaan sistem pengurusan tempur mengesan pelbagai sasaran "multiple target tracking system" yang dipunyai oleh RSS Formidable membolehkan RSS Formidable mengenal pasti di manakah sasaran musuh, dan sasaran mana pula yang mengancam kapal tersebut. Dengan ini, sistem pengurusan tempur dapat mengurangkan masa yang diperlukan untuk bertindak balas dalam mengatasi ancaman samada dari darat, di bawah lautan atau udara." Dengan sistem komputer dan automasi meluas, kapal frigat RSS Formidable hanya memerlukan 70 anak kapal, berbanding sekitar 150 anak kapal bagi kapal sebesar itu. Kapal frigat RSS Formidable merupakan salah satu jaminan keselamatan negara Singapura dari ancaman anasir-anasir yang tidak diingini. Pihak tentera Singapura samada laut, darat dan udara senantiasa berusaha menggunakan teknologi untuk terus melengkapi dan memajukan sistem pertahanan Singapura.